PENCAPAIAN sukan negara di pentas antarabangsa sebenarnya sudah cukup membanggakan.
Pelbagai gelaran pada kejohanan dunia sudah berada dalam genggaman, tetapi ia belum cukup untuk memberi kepuasan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Mereka masih mengharapkan atlet-atlet negara untuk berdiri megah di podium utama temasya Sukan Olimpik - temasya sukan tersohor di muka bumi.
Olimpik adalah ibu kepada segala acara sukan dan sehingga ke hari ini, hasrat menggenggam emas terus menjadi idaman seluruh warga negara Malaysia.
Menyedari impian besar di kalangan rakyat tempatan itu, kerajaan semakin serius untuk merealisasikannya dengan sasaran untuk menjelmakannya pada temasya di London pada 2012.
Bagi melonjakkan cita-cita tersebut maka diwujudkan Program Road to London (RTL) 2012 dengan sasaran untuk menggenggam emas pertama pada temasya berprestij itu.
Sandaran emas sudah pastinya disandarkan kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang berjaya menyumbang kilauan perak pada temasya Olimpik 2008 di Guangzhou, China.
Selain Chong Wei, beberapa atlet harapan negara seperti jaguh keirin dunia, Mohd. Azizulhasni Awang, gandingan beregu badminton lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta penerjun cilik, Pandalela Rinong turut menjadi sandaran emas kontinjen Malaysia.
Namun, timbul satu persoalan - apa nilainya sebutir pingat emas itu jika hendak dibandingkan dengan kemajuan yang telah dikecapi rakyat Malaysia setelah 54 tahun bebas daripada taklukan kuasa penjajah.
Malah, sebagai negara yang sedang membangun, ada di kalangan rakyat di negara ini telah pun mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia menerusi pelbagai bidang dan ia memang suatu yang membanggakan.
Adakah itu semua masih belum cukup untuk memuaskan hati lebih kurang 27 juta rakyat di negara ini?
Jika persoalan itu dilemparkan kepada seluruh warga negara Malaysia terutamanya peminat-peminat sukan negara, sudah pasti jawapannya belum puas.
Ini kerana, Malaysia masih belum menikmati kepuasan untuk melihat atlet yang menggalas cabaran meraih pingat emas pada Sukan Olimpik.
Sejak mula mengambil bahagian pada Sukan Olimpik 1956 di Australia, atlet-atlet yang menggalas cabaran kontinjen Malaysia hanya mampu menghasilkan pingat perak dan gangsa sebagai hidangan kepada rakyat di negara ini .
Mungkin disebabkan itu, ada di kalangan mereka beranggapan kemajuan yang dikecapi Malaysia ketika ini tidak lengkap sekiranya masih gagal meraih pingat emas Sukan Olimpik.
Ada benarnya juga tanggapan yang dilemparkan itu kerana seperti yang sedia maklum, sukan sebenarnya mempunyai peranannya yang tersendiri dalam usaha mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Lihat sahaja kejayaan yang dilakar Chong Wei, Azizulhasni dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David sejak beberapa tahun lalu, ternyata ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
Malah, ketiga-tiga bintang negara itu kini bergelar No. 1 dunia dalam acara masing-masing.
Ia sekali gus telah meletakkan nama Malaysia setaraf dengan negara-negara maju yang lain yang sentiasa melihat sukan sebagai salah satu platform untuk membuka mata dunia.
Begitupun, apalah ertinya bergelar jaguh No. 1 dunia sekiranya sebutir pingat emas pada Sukan Olimpik masih gagal dibawa pulang.
Bukan mahu menidakkan pencapaian yang dilakar atlet-atlet negara itu tetapi sekiranya kita memandang ia dari setiap aspek, sebutir pingat emas itu cukup tinggi nilainya.
Turut berkongsi pendapat yang sama ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengakui bahawa sebutir pingat emas Sukan Olimpik sudah cukup untuk membuatkan rakyat negara ini berasa puas andai ia berjaya direalisasikan.
Shabery berkata, rakyat Malaysia pastinya akan berasa bangga dan terharu sekiranya lagu Negaraku berkumandang di Sukan Olimpik sambil menyaksikan bendera negara dinaikkan dengan megahnya.
"Kalau kita menang pingat perak ataupun gangsa, memang bendera negara akan tetap dinaikkan tetapi ia berbeza jika diiringi dengan lagu Negaraku yang mana ia hanya boleh dirasai sekiranya kita meraih pingat emas.
"Ketika itu nanti, bukan sahaja rakyat Malaysia malah negara-negara lain juga akan turut berdiri menghormati lagu kebangsaan kita dan ia pastinya akan menghadirkan satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-ka ta.
"Itulah nikmat sekiranya kita berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan Olimpik," kata Shabery dalam satu temu bual dengan Kosmo! baru-baru ini.
Tambah beliau, dengan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik, ia sudah pasti bakal menyemarakkan lagi semangat serta keghairahan rakyat negara ini untuk terus memberi sokongan terhadap arena sukan tanah air.
Justeru, RTL 2012 yang dicetuskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai persiapan menghadapi temasya terbesar dunia itu dilihat hadir tepat pada waktunya disaat rakyat negara ini sudah tidak mahu terus kempunan menyaksikan pingat emas terlepas begitu sahaja.
Dengan menyenaraikan acara badminton, berbasikal dan terjun yang dilihat berpotensi besar bagi menyumbangkan pingat emas pertama negara, RTL 2012 menjadi pemangkin terhadap impian seluruh rakyat Malaysia itu.
Selain badminton, berbasikal dan terjun, empat lagi acara iaitu memanah, menembak, hoki dan bola sepak turut tersenarai dalam RTL 2012 yang membabitkan penglibatan seramai 77 atlet secara keseluruhannya.
Sejak ia mula dilancarkan secara rasminya pada 16 Februari 2009, kos perbelanjaan bagi membantu persiapan atlet-atlet di bawah program RTL 2012 sehingga kini sudah mencecah RM24 juta.
Ia bukan suatu jumlah yang kecil sehingga menyebabkan timbulnya rungutan-rungutan daripada persatuan-persatuan sukan yang tidak termasuk dalam senarai RTL 2012 apabila mereka mendakwa ia merupakan satu keputusan yang tidak adil kerana kerajaan lebih mengutamakan program tersebut.
"Dalam hal ini, saya meminta persatuan-persatuan sukan yang lain itu jangan berkecil hati kerana kerajaan memang serius untuk membawa pulang pingat emas daripada Sukan Olimpik kerana ia ada kaitan dengan maruah negara.
"Jika negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand telahpun memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik, kini sudah tiba masanya kita pula membuktikan bahawa kita juga mampu untuk melakukannya.
"Apa juga masalah yang timbul, sasaran kita untuk meraih satu pingat emas di London perlu dicapai," jelas Shabery.
Berdasarkan prestasi serta pencapaian yang dilakarkan atlet-atlet yang berada di bawah program RTL 2012 ketika ini, tidak mustahil sasaran bagi membawa pulang sebutir pingat emas itu mampu dicapai.
Malah, Shabery sendiri menyuarakan keyakinan beliau bahawa jika tidak berdepan sebarang masalah, bukan satu tetapi kontinjen Malaysia mampu meraih empat pingat emas di London kelak.
Bukan sekadar 'omongan kosong' ataupun mahu bersikap takbur tetapi beliau melahirkan keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor selepas menyaksikan peningkatan demi peningkatan dipamerkan atlet-atlet negara terutamanya dalam acara badminton, basikal trek dan terjun.
"Chong Wei telah meruntuhkan tembok psikologi yang sebelum ini menghalang dia selaku pemain No. 1 dunia untuk menewaskan musuh utamanya Lin Dan (China) dengan bergelar juara pada Kejohanan Badminton Seluruh England bulan lalu.
"Manakala dalam acara beregu, Kien Keat-Boon Heong pula tewas pada aksi final dengan jurang mata yang sedikit di tangan beregu No. 1 dunia. Ini menandakan bahawa kita masih berpeluang untuk memenangi pingat emas dalam acara beregu.
"Begitu juga dengan basikal trek. Seperti kita sedia maklum Malaysia memiliki Azizulhasni yang telah mem buktikan bahawa dia merupakan jaguh No. 1 dunia dalam acara tersebut dan ia tidak boleh dipertikaikan lagi.
"Pandelela Rinong pula ada potensi besar untuk memenangi pingat emas selepas kejayaannya memenangi perak pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia dan Sukan Asia, yang mana dia berada satu tempat di belakang penerjun nombor satu dunia dari China," jelas Shabery.
Bagaimanapun, itu bukan menandakan ia merupakan sasaran buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik kelak sebaliknya hanya ramalan mengenai peluang buat Malaysia membawa pulang pingat emas.
"Saya tidak cakap ia merupakan sasaran buat kontinjen negara tetapi saya bercakap mengenai jangkauan pingat emas yang mampu diraih pada Sukan Olimpik nanti berdasarkan beberapa faktor termasuklah prestasi semasa atlet.
"Namun, sasaran utama kita adalah untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik," tambah Sha bery.
Kini, sama ada mampu ataupun tidak atlet-atlet negara mejelmakan kilauan pingat emas tersebut bakal terjawab apabila temasya Sukan Olimpik 2012 di London membuka tirainya pada 27 Julai hingga 12 Ogos tahun depan.
Yang pasti, rakyat Malaysia sudah tidak mahu melihat kemarau meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik terus berlanjutan kerana mereka sudah tidak sabar untuk merasai kenikmatannya.
Dipetik dari:
HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz3U7REnVMh
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment